Mr Advisors menyediakan banyak Ebook yang dapat menambahnilai ilmu dan kemahiran perniagaan anda. Ebook ini hanya bagi tujuan pembelajaran sahaja dan tidak boleh dikomersilkan. Ebook ini diperolehi dari sumber umum (open source) yang dibenarkan. Ikuti huraian lanjut berkenaan Ebook ruangan bawah.
40 Hadith Pengurusan Harta dan Perancangan Kewangan
Oleh Abdullaah Jalil
Segala pujian hanyalah layak bagi Allah, Tuhan yang Esa, pencipta dan pentadbir alam ini, yang telah mengurniakan manusia dengan pelbagai nikmat dan menguji mereka dengan pelbagai kesenangan dan kesusahan. Selawat dan salam ke atas kekasih Allah dan junjungan kita semua, Saidina Muhammad, ahli keluarga serta para sahabat Baginda.
Azam untuk menulis buku ini telah mula timbul apabila pihak al-Rayyan Wealth Management menjemput penulis untuk menyampaikan serba sedikit maklumat berkenaan pengurusan harta dari perspektif Islam sewaktu pelancaran perasmiannya. Namun begitu, penulis hanya mula terdedah kepada subjek pengurusan harta dan perancangan kewangan secara formal dan serius apabila mengambil subjek “Islamic Wealth Management” di INCEIF, di bawah tunjuk ajar Dr. Shaykh Hamzah Abdul Razak. Itu adalah pada hujung tahun 2011. Sejak itu, azam penulis untuk mengumpulkan hadith-hadith Rasulullah yang relevan dengan subjek ini secara tersusun semakin bertambah kuat. Namun begitu, kerana hambatan masa dan tugasan, penulisan ini terpaksa dibuat secara berdikit-dikit.
Dan Alhamdulillah, usaha yang berdikit-dikit ini telah pun dapat disempurnakan dengan tawfiq dan inayah-Nya. Semoga Allah memelihara niat penulis dan menjadikan usaha ini di dalam neraca amalan soleh penulis di akhirat nanti. Penulis berharap agar hasil usaha yang sedikit ini dapat memberi sumbangan kepada perkembangan ilmiah dan industri pengurusan harta dan perancangan kewangan Islam serta dapat mempertingkatkan kefahaman masyarakat Islam khususnya terhadap disiplin ini.
Sewajarnyalah kita – umat Islam – ini kembali dan terus menerus merujuk kekasih dan penghulu kita yang sangat mengasihi umatnya – Nabi Muhammad – kerana Baginda lah yang selayaknya menjadi panduan dan teladan hidup kita dalam mengurus harta dan merancang kewangan agar kita benar-benar dapat berada di atas jalan yang lurus. Semoga Allah memaafkan segala kekurangan yang berlaku di dalam buku ini dan semoga Allah merahmati mereka yang menegur penulis berkenaan kesilapan yang terdapat di dalam buku. Akhir kata: Segala puji hanyalah untuk-Nya.
Penulis.
Reviews
There are no reviews yet.